Have an account?

REBUNG DAN BULUH DARI TEKNOLOGI TISU CULTURE

CATEGORY: , , , , , , , | Thursday, January 7, 2010
0

Pokok buluh, bagi kebanyakkan orang mungkin melihatnya sebagai tumbuhan liar yang hidup di hutan belantara atau di tebing sungai di kampung-kampung. Sebenarnya ia mempunyai potensi besar untuk dimajukan bagi industri rebung, manakala buluh boleh digunakan untuk industri pengeluaran barangan antaranya seperti parkir, papan lapis, lidi, bakul sayur dan kraftangan.

Justeru itu, seorang pengusaha, Encik Ab. Manas Itam, 64 dari Johol memulakan tanaman pokok buluh sebagai projek percubaan di beberapa kawasan di Johol membabitkan keluasan 4 hektar, bermula pada tahun 2002. Projek pertamanya dilaksanakan di Jalan Serting, Kampung Padang Jual dengan keluasan 0.8 hektar yang mula menghasilkan rebung tahun lalu, manakala yang lainnya termasuk di Kampung Kuala Johol (1.2 hektar) di Kampung Solok Kelubi, Johol yang disulami dengan tanaman pokok jering dan di Kampung Air Taling, Dangi.

Katanya, idea menanam pokok buluh datang secara kebetulan ketika pegawai Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) datang ke rumahnya beberapa tahun lalu. Sambil berbual dengan pegawai itu, katanya, beliau bertanya mengapa empat rumpun pokok buluh yang tumbuh di FRIM satu ketika dulu kini hanya tinggal dua. Lantas, katanya, pegawai berkenaan bertanya sama ada beliau berminat menanam pokok buluh dan FRIM sedia memberi khidmat nasihat dan menyediakan bekalan baka pokok.

“Itulah mulanya saya menanam pokok buluh,” katanya dalam temubual deangan Suara Negeri di kediamannya baru-baru ini.

Tanaman pokok buluh tidak susah dijaga kerana ia ditanam sekali saja tanpa memerlukan penanaman semula, dengan dibaja setahun sekali. Ia cuma tidak boleh ditanam di kawasan tanah yang terlalu kering atau tanah yang terendam yang menjejaskan pertumbuhan akar. Tempoh matang pokok buluh untuk penghasilan rebung juga singkat iaitu kira-kira dua tahun manakala untuk batang buluh enam tahun. Ia juga sukar dijaga kerana tidak mempunyai musuh daripada haiwan.

Katanya, modal untuk memulakan tanaman bagi keluasan 0.8 hektar adalah kira-kira RM7,000 bagi membersihkan kawasan dan memasang pagar. Jarak tanaman antara rumpun adalah antara 15 kaki dan 20 kaki yang membolehkan kira-kira 350 rumpun buluh boleh ditanam bagi keluasan 0.4 hektar, katanya. Katanya, buluh boleh ditanam melalui keratan dahan yang berakar, keratan batang dan melalui kaedah tisu kultur.

Beliau memberitahu rebung yang tumbuh pada penghujung musim hujan dan permulaan musim kemarau, kebanyakannya mati atau dorman kerana kekeringan. Pokok buluh yang mengeluarkan bunga pula adalah tanda bahawa pokok berkenaan akan mati, katanya.

Antara tujuan beliau menceburi bidang itu adalah kerana buluh yang dikategorikan sebagai hasil hutan bukan kayu jika tidak diusahakan, maka ia akan pupus kerana rebungnya diambil orang. Katanya pada peringkat ini beliau memasarkan hasil rebung berdasarkan permintaan seperti kenduri kendara.

“Paling jauh saya pernah menjualnya ke Melaka. Saya belum pasarkan banyak kerana kini mahu menjadikan baka terlebih dulu. Saya nak kembangkan baka pokok buluh.” Katanya.

Katanya harga rebung buluh bergantung kepada jenisnya iaitu RM5 bagi rebung jenis Buluh Betung yang belum diproses dan RM8 yang sudah diproses bagi setiap kilogram, manakala rebung Buluh Beting adalah RM3 bagi yang belum diproses dan RM5 untuk yang sudah diproses. Beliau berkata, perusahaan rebung mempunyai potensi besr untuk dimajukan kerana permintaan yang banyak ekoran semakin ramai yang menggemari rebung.

“Ramai tak tahu rebung boleh digoreng dan paling digemari adalah masak lemak cili api rebung dengan ayam atau daging salai,” katanya.

Sementara itu, menurut buku Panduan Penanaman dan Pengurusan Dirian Buluh Untuk Pengeluaran Rebung oleh FRIM, terdapat 60 spesis buluh di Semenanjung Malaysia iaitu 28 spesis buluh tempatan dan 32 lagi ditanam. Buluh adalah rumpun saka yang tergolong dalam famili Graminae yang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mudah dilentur dan dibentuk.

Buluh mempunyai pusingan tuaian yang endek dan berterusan. Jika dibandingkan dengan pokok hutan yang memerlukan sekurang-kurangnya 20 hingga 50 tahun untuk ditebang, buluh boleh mengeluarkan hsailselepas dua setengah tahun dan berterusan sehingga 20 tahun atau lebih. Enam sepsis utama rebung yang diminatai adalah buluh beting, buluh betung, buluh tumpat, buluh duri,buluh aur dan buluh brang. Yang paling popular di Semenanjung Malaysia adalah buluh betung dan buluh tumpat.

Buluh yang biasanya ditanam dan jarang dijumpai tumbuh liar di hutan adalah buluh beting, betung, duri dan aur manakala buluh tumpat adalah buluh liar yang terdapat terutamanaya di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Buluh brang pula terdapat di Kuala Berang, Terengganu.

Rebung buluh adalah sayuran yang boleh dimakan secara mentah/segar ataupun dimasak. Ia kaya dengan nutrien untuk keperluan badan dan komposisis kandungan nutrien bergantung kepada sepsis. Antara bahan nutrien yang terdapat pada rebung buluh adalah B-Karotina, Vitamin B1, Vitamin B2, Vitamin C, Kelembapan, Protin, Lemak, Serabut, Kabohidrat dan Tenaga.

Cara Mengambil Rebung

- Kenalpasti dahulu rebung yang hendak diambil sudah cukup ketinggian antara dua ke tiga jenggal
- Cobak dipangkalnya dan potong hujungnya.
- Dibelah kulit dan dikopek.
Peralatan :
- sarung tangan bagi mengelakkandari terkena miang rebung
- Parang atau cobak

Proses membuat rebung

1. Cara Pertama
- Kupas kulit arinya dan buang bahagian pangkal yang keras
- Iris ataupun cincang
- Rendam dalam air garam selama 12 jam bagi mengelakkan:
o Warna putih tidak berubah
o Menghilangkan pahit
o Tidak masam
o Tahan lama
2. Cara Kedua
- Dibelah rebung mengikut saiz
- Direbus sehingga mendidih
- Dimasukkan di dalam plastic dan disimpan di dalam peti sejuk dan apabila perlu baru diiris. (Bagaimanapun cara kedua boleh menghilangkan sebahagian daripada zat yang terdapat pada rebung berkenaan).

Keistimewaan rebung madu

CATEGORY: , , |
0

Yusof Tan menunjukkan buluh madu yang telah dipotong untuk mendapatkan rebungnya di kebunnya, Felda Tenggaroh 3, Mersing baru-baru ini.


MERSING 29 Julai - Rebung merupakan salah satu sayur tradisional yang cukup sinonim di kalangan masyarakat Melayu kerana keenakan rasanya.

Mungkin bagi masyarakat di kawasan bandar, ia jarang diperoleh dan boleh dianggap 'eksotik', namun bagi penduduk kampung rimbunan pokok buluh sentiasa menjadi tumpuan untuk mendapatkan rebungnya.

Menyedari potensi besar masakan berasaskan rebung, seorang pekebun, Yusof Tan, 64, memberanikan diri mengusahakan tanaman buluh madu di tanah seluas 0.4 hektar di Felda Tenggaroh 3, dekat sini untuk tujuan komersial.

Pekebun gigih ini memberitahu, dia kini menanam kira-kira 200 rumpun buluh madu dan setelah setahun diusahakan, tanaman berkenaan berjaya mengeluarkan rebung yang banyak.

''Saya berminat untuk mengusahakan buluh madu setelah mendapat galakan dan dorongan kuat daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Tenggaroh 3, Madun Hamid.

''Madun mengenali buluh madu hasil lawatannya ke sebuah kawasan di Chuping, Perlis apabila para petani di sana mengusahakan buluh madu secara komersial untuk mendapatkan rebungnya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Bapa kepada tujuh anak ini memberitahu, dia telah mengusahakan tanah terbiar seluas 0.4 hektar yang dikurniakan oleh Pengurus Felda Tenggaroh Tiga, Mispar Salim kepadanya.

''Pada permulaannya saya telah membeli 200 benih buluh madu dengan harga RM6.60 setiap pokok.

''Apa yang menyeronokkan dalam tempoh lapan bulan, kita dah boleh tuai rebung dan kini dijual dengan harga RM6 sekilogram untuk pasaran tempatan,'' katanya.

Yusof memberitahu, berikutan sambutan menggalakkan dia bercadang memperluaskan tanaman tersebut bagi memenuhi keperluan bukan sahaja di sekitar bandar Mersing, malah ke Johor Bahru yang mempunyai permintaan tinggi.

Mengenai kelebihan dan keistimewaan rebung buluh madu berbanding buluh biasa, Yusof yang memang gemar berbudi kepada tanah berkata: "Pertamanya buluh dan rebung jenis itu tiada miang dan memudahkan pengguna untuk mengambil dan menyiangnya.

''Satu lagi kelebihannya, kadar pembesaran dan pertumbuhan rebung agak pantas iaitu dalam masa 24 jam boleh tumbuh sehingga enam inci," katanya.

Beliau berkata, buluh madu juga mudah dijaga iaitu hanya memerlukan baja untuk mempercepatkan tumbesarannya.

Sehubungan ini, Yusof turut menggalakkan mereka yang berminat untuk mengusahakan tanaman buluh madu dan boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian berhampiran kerana tanaman tersebut menjanjikan pulangan lumayan.

Ref: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_01.htm